Mehrom serah memorandum henti pembunuhan beramai-ramai

source by ; http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140717/dn_16/Mehrom-serah-memorandum-henti-pembunuhan-beramai-ramai
ARKIB : 17/07/2014

Mehrom serah memorandum henti pembunuhan beramai-ramai

ZAFAR Ahmad Abdul Ghani (dua dari kanan) menyerahkan memorandum membantah serangan di Gaza dan krisis kemanusiaan di Myanmar kepada wakil PBB, Devendra Patel di Wisma United Nation, Damansara, Selangor, semalam. – UTUSAN/AMIR HAFIZ ABD. RAHMAN

KUALA LUMPUR 16 Julai – Pertubuhan Hak Asasi Rohingya Myanmar di Malaysia (Mehrom) hari ini menyerahkan satu memorandum menghentikan pembunuhan beramai-ramai yang berterusan di Palestin dan Rohingya kepada wakil pemimpin dunia untuk mendesak campur tangan antarabangsa berikutan serangan terbaharu terhadap warga Palestin dan etnik Rohingya.

Presidennya, Zafar Ahmad Abdul Ghani berkata, serangan pada awal bulan Ramadan itu menyebabkan banyak kematian etnik Rohingya dan rakyat Palestin yang tidak bersalah terutamanya kanak-kanak dan wanita namun sehingga kini tiada tindakan diambil kerajaan Myanmar dan Israel untuk menyelesaikan masalah tersebut.

Menurut beliau, memorandum itu diserahkan bertujuan menarik perhatian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan pemimpin-pemimpin dunia memandangkan sehingga kini tiada tindakan proaktif diambil mereka untuk menghentikan kekejaman terhadap rakyat tersebut.

“Saya menentang sekeras-kerasnya tindakan Israel dan Myanmar terhadap serangan yang dilakukan di kawasan masjid, hospital, sekolah dan madrasah. Malah mereka juga menyerang penduduk yang tidak bersalah tanpa belas kasihan.

“Inilah masanya untuk mengambil tindakan terhadap kedua-dua kerajaan ini dan kami mahu pihak bertanggungjawab didakwa di Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) kerana melakukan jenayah kemanusiaan,” katanya.

Beliau ditemui selepas menyerahkan memorandum di Ibu Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Wisma United Nation (UN), di sini hari ini.

Memorandum berkenaan diterima Penasihat Keselamatan Jabatan Keselamatan (UNDSS), Devendra Patel pada pukul 11 pagi.

Sehubungan itu, Zafar berkata, antara isi kandungan dalam memorandum itu adalah mendesak pemimpin dunia menghentikan hubungan ekonomi dan politik dengan kerajaan Myanmar sehingga mereka menyelesaikan konflik dan melindungi etnik Rohingya di sana dengan hak sama rata.

“Kami turut mencadangkan kepada PBB untuk menggantung keanggotaan Israel dalam PBB, melaksanakan sekatan ketenteraan dan ekonomi ke atas Israel yang membawa kes pelanggaran hak asasi manusia dan menghantar segera pasukan keamanan ke negara berkenaan untuk memantau pencabulan hak asasi yang dihadapi.

“Apa yang penting pada masa ini ialah jaminan keselamatan terhadap penduduk Palestin dan etnik Rohingya untuk meneruskan kehidupan mereka dan tindakan drastik perlu diambil dalam menamatkan konflik berdarah di wilayah tersebut,” katanya.

Kongsi Konten di :

Leave a comment