[Dunia] Kami bukan pendatang, kami cuma mahu pulang

“Fahamilah, kami sesungguhnya ingin pulang” – Pelarian Rohingya
Syafique Shuib, Astro Awani | Kemas kini: Mei 14, 2015
(Diterbitkan pada: Mei 14, 2015 07:07 MYT)

“Fahamilah, kami sesungguhnya ingin pulang” – Pelarian RohingyaEtnik Rohingya bukan pendatang asing, tapi merupakan golongan pelarian. -Gambar fail
KUALA LUMPUR: Baru-baru ini terdapat laporan mengenai kebanjiran 5,000 hingga 6,000 pendatang asing tanpa izin (PATI) dari Bangladesh dan Myanmar yang terkandas di Selat Melaka dan perairan antarabangsa.

Kebanyakan mereka tiada arah tujuan berikutan kawalan ketat pihak berkuasa Malaysia, Thailand dan Indonesia.

Isnin lalu, lebih 1,000 PATI warga Myanmar dan Bangladesh bertindak terjun ke dalam laut selepas dua bot pukat ikan bilis yang dinaiki mereka tersangkut di beting berhampiran Pantai Pasir berdengung, dekat Langkawi.

Di Indonesia pula, pihak berkuasa tempatan di Aceh menahan 600 PATI yang cuba memasuki negara itu.

Media turut melaporkan kebimbangan penduduk tempatan, khususnya di Langkawi, yang risau tentang keselamatan mereka dengan ketibaan PATI ini.

FOTO: Memperingati insiden pembunuhan beramai-ramai etnik Rohingya

FOTO: Masa depan kelam pelarian Rohingya

Namun dalam kalangan mereka ini wujud kumpulan etnik Rohingya di mana masyarakat ini dilihat sanggup bersabung nyawa meredah lautan dan meninggalkan tanah air mereka untuk mencari perlindungan serta kehidupan yang lebih baik.

Rohingya

Siapakah mereka?

Dengan pelbagai laporan di media cetak dan elektronik tentang kemasukan PATI ini, kita harus tahu siapa mereka dan apa yang menyebabkan mereka datang ke Malaysia.

“Kita harus jelas di sini bahawa etnik Rohingya bukanlah pendatang asing yang seperti diklasifikasikan di sini. Mereka dalam golongan pelarian,” jelas Presiden Myanmar Ethnic Rohingya Human Rights Organization Malaysia Zafar Ahmad Abdul Ghani ketika ditemui di Astro AWANI malam Rabu.

Kata Zafar, Rohingya merupakan sebuah kumpulan etnik yang majoritinya beragama Islam. Mereka tinggal di negeri Rakhine – sebelum ini dikenali sebagai Arakan – yang terletak di barat Burma.

“Rakhine merupakan tanah kami. Itu memang negeri kami. Namun pada 1978 junta tentera Myanmar cuba menghalau kami dari tanah kami. Ini menyebabkan ramai yang lari ke Bangladesh.

“Ini dikenali sebagai Operasi Nagamin tentera Myanmar, dimana kezaliman dibuat dan terdapat pencabulan hak-hak asasi kemanusiaan,” katanya.

BACA: Lagi kem Rohingya dan mayat ditemui di sempadan Thailand-Malaysia

BACA: Malaysia bincang dengan Bangladesh dan Myanmar mengenai PATI

BACA: Gema bantu Rohingya di Eropah

Tambahnya, Akta Kewarganegaraan 1982 yang digubal tidak mengiktiraf Rohingya sebagai salah satu etnik Myanmar dan menfapat hak kewarganegaraan. Ini menyebabkan mereka dilucutkan dari sosio-ekonomi dan politik negara.

“Sekarang ini Myanmar mengiktiraf 135 golongan etnik dan etnik Rohingya tidak tersenarai,”.

Kongsi Zafar, tanah di Rakhine kaya dengan pertanian, minyak, gas dan sebagainya dan ini merupakan salah satu usaha untuk pihak tentera untuk mengambil tanah mereka.

“Pada 1988, terdapat sebuah lagi operasi di mana kanak-kanak berusia 12 tahun ke atas harus menjadi buruh paksa. Terdapat kezaliman lain seperti penangkapan, pembunuhan dan juga rogol.

“Kita tidak dapat memiliki apa-apa. Pisau untuk potong sayur pun tidak ada. Kalau kita ada pisau, mereka akan tahan satu keluarga dan bawa mereka keluar dari kampung itu. Kami juga tinggal di kem, kami tidak mempunyai rumah,” katanya.

Rohingya
Zafar berkata etnik Rohingya tidak mempunyai rumah di Rakhine. Sebaliknya, mereka ditempatkan di kem. -Gambar fail

Mahu lari ke mana?

Oleh kerana kezaliman dan juga proses pembersihan etnik di Myanmar, ramai etnik Rohingya terpaksa meninggalkan tanah mereka.

“Sekarang terdapat 2 juta etnik Rohingya di Rakhine dan 2.5 juta di luar Rakhine.

“Macam mana kami mahu hidup di negeri sendiri, kalau pihak kerajaan mahu membunuh kami? Kami sudah tiada hak, baik kita lari sahaja,” kata Zafar.

Selain warga Bangladesh, etnik Rohingya turut mencari perlindungan di negara ASEAN seperti Thailand, Indonesia dan Malaysia. Kepada mereka yang lebih bertuah, mereka mendapat suaka di negara ketiga seperti Amerika Syarikat.

“Kami bukan lari ke Malaysia sahaja. Kami berada di mana-mana… ada di sini, ada di Indonesia, Thailand, Bangladesh, Dubai, Amerika Syarikat… di mana sahaja kita boleh mendapatkan perlindungan,” katanya.

Berikut merupakan perjalanan bagi etnik Rohingya ke negara ASEAN – khususnya Thailand dan Malaysia –  berdasarkan perjalanan kumpulan PATI Myanmar dan Bangladesh awal minggu ini:

Rohingya
Kebiasaannya, PATI itu akan bergerak dari Bangladesh dan Myanmar menaiki bot nelayan untuk ke kapal kargo yang terletak di laut andaman.

Rohingya Route
Perjalanan mengambil masa lapan hingga 12 jam.

Rohingya Route
Pelayaran kapal kargo itu ke perairan Thailand dan akan mengambil masa satu hingga dua minggu.

Rohingya Route
Antara lokasi pendaratan PATI itu di Thailand ialah Ranong, Phang Nga dan Satun, manakala di Malaysia ialah Langkawi. Jika menerusi jalan darat, PATI berkenaan akan dibawa menaiki trak dan van dari wilayah Rakhine ke Kanchanburi dan Bangkok, sebelum meneruskan perjalanan menaiki kenderaan sama atau keretapi menuju ke sempadan Malaysia-Thailand.

Zafar turut berkata bahawa perjalanan ini tiada jaminan tentang keselamatan atau hidup mati mereka.

“Ini semua nasib. Kalau nasib mereka baik, mereka akan sampai. Kalau tidak, terdapat banyak cabaran di lautan.

ASEAN harus memainkan peranan yang penting

Zafar menyeru ASEAN, khususnya Malaysia sebagai pengerusi – untuk memainkan peranan yang penting dalam menangani isu ini.

“Negara-negara di ASEAN selalunya memandang ketibaan etnik Rohingya sebagai “isu” dan mereka selalunya tidak mahu memberi perlindungan.

“Jadi jika mereka tidak mahu dibelenggu dengan isu ini,  mereka harus masuk campur dan memberi tekanan kepada situasi di Myanmar.

Namun dengan nada kesal, Zafar menganggap pihak ASEAN tidak mengambil berat tentang konflik dalaman yang berlaku di Myanmar.

“Sidang Kemuncak ASEAN Ke-26 yang berlangsung pada bulan lepas sepatutnya membangkitkan isu ini kerana semua pemimpin ASEAN ada di sini. Namun kenapa perkara ini tidak dibangkitkan kepada pemimpin Myanmar? Adakah sebab mereka semua kawan, jadi mereka tidak membincangkan tentang isu ini?” tanyanya.

Selain negara-negara, ASEAN, Zafar turut berkata bahawa komuniti antarabangsa turut boleh memberikan bantuan.

“Dengan tutup mata sahaja mereka sepatutnya mendapatkan hak suaka. Tidak perlu ada etnik Rohingya melalui ujian atau temu duga apa-apa.

“Namun kepada negara-negara ketiga cakap sahaja tetapi tidak membuat apa-apa. Sekurang-kurangnya dengan bantuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), pelarian Rohingnya dapat ditempatkan di kem dan bukan pusat tahanan. Pusat tahanan tidak dapat menampung mereka dan keadaan tidak selesa,” katanya.

Rohingya
Etnik Rohingya tiada pilihan selain keluar dari negeri Rakhine oleh kerana dikatakan wujud usaha pembersihan etnik di Myanmar.  -Gambar fail

Kami mahu pulang

Akhir sekali, Zafar berkata bahawa semua etnik Rohingya mahu pulang ke Rakhine.

“Siapa yang tidak mahu pulang? Itulah tanah kami. Namun sekarang ini, kami tiada negeri, tiada kerakyatan dan tiada dokumen apa-apa.

“Kami tiada pilihan selain mencari perlindungan di luar. Ramai yang tiada pendidikan. Jadi apabila mereka di tahan di Malaysia sebagai contohnya, mereka tidak tahu untuk menjawab soalan dari pihak berkuasa.

“Mereka tidak tahu tentang ‘kesalahan’ yang dibuat iaitu melanggar undang-undang antarabangsa. Mereka hanya mahu perlindungan,” katanya.

Beliau menyeru agar pihak ASEAN atau pihak antarabangsa sudi membantu  mereka.

“Kami ingin pulang,” katanya mengakhiri perbualan.

sources by http://mforum.cari.com.my/forum.php?mod=viewthread&tid=875053
Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s